Melalui detik pengalaman sebelum bergelar ibu memberi banyak pengalaman manis buat diri.. Dari situ ilmu dikutip dan aku sntiasa berusaha memantapkan pengetahuan diri sebagai ibu muslimah. Perlu diakui, kehidupan kita sebagai wanita memerlukan kita mengetahui hukum2 yang berkaitan wanita secara khususnya, selain dari bantuan suami yang mengingatkan.
Jangan nanti terlalu teruja dengan kelahiran anak yang bakal lahir, dan memikirkan sakit bersalin itu menjadikan kita terlupa melaksanakan kewajipan kita pada YAng Esa.
Pernah diri terkeliru dengan hukum darah yang keluar sebelum waktu melahirkan dan juga darah yang keluar sebelum keguguran gugur dengan sempurna . Adakah solat perlu diteruskan, atau tidak? Darah apakah itu? Menyedari situasi itu, ilmu ku gali.. Hukum bukan mainan, bukan boleh dipandang lewa. Tidak tahu tak beerti membenarkan ia terus berlalu. Perlu menuntut ilmu, andai sebelum ini kita tersalah, tidak mengapa. Mohon ampun pada Allah, dan perbaiki kesalahan kita, insyallah..
Sememangnya kita bermazhab Syafie, tetapi mengenai khilaf pendapat terhadap hukum darah sebelum melahirkan, kajian saintifik membenarkan pendapat majoriti fuqaha’. Apabila sesuatu pendapat itu disokong hujjah yang lebih kuat, maka seharusnya kita beramal dengan pendapat yang kuat. Apatah lagi ia melibatkan ibadah solat sama ada ditunaikan atau ditinggalkan. Wallahua’lam.
Jenis Pendarahan Semasa Hamil
Darah yang keluar semasa hamil dikira sebagai istihadah. Darah bercampur lendir ketika proses hendak bersalin juga dikira istihadah atau darah fasad (rosak).
Nifas ialah darah yang keluar dari rahim selepas melahirkan anak. Bagi mazhab Syafie, dikira darah nifas jika bersalin anak yang hidup, mati atau keguguran sama ada bersalin cara biasa atau pembedahan.
Nifas dari Sudut Saintifik
Ibu-ibu sudah tentu pernah mengalami rasa sakit seperti hendak bersalin sedangkan bayi sudah pun keluar. Apakah sebenarnya yang berlaku di dalam rahim kita?
Pada peringkat akhir proses kelahiran bayi, otot-otot rahim mengecut untuk menolak keluar keseluruhan badan bayi. Akhirnya kelahiran sempurna berlaku. Pengecutan seterusnya berlaku menyebabkan tertanggalnya uri dari dinding rahim. Sejurus berlakunya kelahiran bayi, pengecutan otot-otot rahim menyebabkan kontraksi berlaku pada otot-otot salur darah arteri lalu menekan salur-salur darah di uri yang akhirnya menyebabkan uri terpisah dari dinding rahim (desidua). Aliran darah pula berlaku hasil dari hakisan pada bekas tempat lekatan uri di dinding rahim (desidua) yang dikenali sebagai nifas. Ciri darah dan tempoh pendarahan adalah bergantung kepada saiz uri tersebut.
Dari sudut saintifik, nifas berbeza dengan darah haid yang berasal dari lapisan endometrium. Secara jelas, darah nifas terhasil dari darah yang mengalir keluar disebabkan oleh bercerainya uri dari rahim selepas melahirkan anak. Ia selaras dengan pandangan fuqaha’ mengenai definisi nifas.
Hukum Pendarahan Semasa Hamil dan Air Ketuban
Pendarahan Semasa Hamil (tiada tanda hendak bersalin)
Perdarahan yang berlaku semasa hamil tanpa sebarang tanda untuk bersalin dalam Mazhab Syafii dihukumkan sebagai haid jika mematuhi kriteria tempoh haid. Jika bersalahan dengan kriteria tersebut maka darah itu dihukumkan sebagai istihadah.
Sebahagian ulama pula menetapkan darah yang keluar ketika hamil bukanlah haid dan dihukumkan sebagai istihadah kerana haid tidak berlaku ketika hamil. Pendapat ini bertepatan dengan kajian saintifik iaitu proses haid tidak akan berlaku kerana telah berlakunya persenyawaan dan kehamilan. Pendarahan yang berlaku ketika hamil biasanya disebabkan oleh kemungkinan wanita itu menghadapi masalah keguguran pada peringkat awal kandungan. Selain itu, wanita hamil mungkin mengalami masalah uri seperti uri pecah atau uri berada di bawah pada pertengahan dan akhir mengandung.
Darah Bercampur Lendir
Biasa juga para ibu mengalami darah bercampur lendir keluar dari rahim sebelum melahirkan. Ia merupakan salah satu tanda awal seseorang ibu akan bersalin. Darah ini keluar disebabkan terbukanya saluran ‘cerviks’ atau pangkal rahim dan juga pemisahan kantung tembuni bayi dari dinding rahim bahagian bawah.
Darah ini akan bercampur dengan lendir yang juga dihasilkan oleh kelenjar di bahagian pangkal rahim. Darah inilah yang dikatakan sebagai darah fasad (rosak) dari aspek fikah. Oleh kerana ia bukan lagi darah nifas, maka wanita yang mengalaminya wajib menunaikan solat seperti biasa. Dengan perkataan lain, kewajipan solat belum terangkat dari wanita tersebut.
Air Ketuban
Keluarnya air ketuban juga merupakan tanda awal proses kelahiran bayi. Air ini keluar dari sarung tembuni bayi yang pecah ketika proses kontraksi rahim. Pada asalnya, air ketuban bertindak sebagai kusyen yang melindungi bayi. Subhanallah. Maha suci Allah yang memelihara janin dalam kandungan.
فَجَعَلْنَاهُ فِي قَرَارٍ مَّكِينٍ
Lalu Kami jadikan air (air mani/zigot) itu pada tempat menetap yang kukuh (yakni rahim).
Surah al-Mursalat 77:21
Demikian hebat kurniaan Allah. Masihkah kita sanggup mendustakan nikmatNya dan membalasnya dengan maksiat?
فَبِأَيِّ آلَاء رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Tuhanmu yang manakah hendak kamu dustakan?
Ayat 13 Surah al-Rahman.
Apabila ia mengalir keluar, air ketuban membantu melicinkan proses kelahiran. Allahuakbar! Maha agung Engkau ya Allah yang tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.
Hukum air ketuban adalah najis. Maka wanita itu perlu bersuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis tersebut dan berwuduk seperti biasa sebelum solat jika air ketubannya sudah kering.
Cara Menunaikan Solat Dalam Keadaan Darah dan Air Ketuban Masih Keluar
Cara bersuci ialah bersihkan terlebih dahulu darah atau air ketuban dari faraj. Kemudian pakai tuala wanita, mengambil wuduk dan terus solat. (penerangan lanjut solat akan diterangkan pada entry akan datang)
(terima kasih ummu abbas)


No comments:
Post a Comment